SEJARAH PUSAT SUMBER SMK KLEBANG BESAR, MELAKA
Pusat Sumber Sekolah (PSS) SMK Klebang Besar mempunyai sejarah perkembangannya yang tersendiri. Perkembangannya adalah selari dengan perkembangan PSS di Malaysia. Berikut dipaparkan sejarah perkembangannya dari tahun 1993 sehingga kini.
PSS SMK Klebang Besar bermula dengan sebuah bilik perpustakaan berkeluasan enam bay dan sebuah bilik tayang seluas tiga bay. Kedua-dua bilik ini terletak di tingkat atas blok C.
Kira-kira 800 naskah buku telah diserahkan kepada pihak sekolah pada bulan Januari 1993 setelah sekolah memulakan operasinya pada Disember 1992.
Guru penyelaras PSS yang pertama ialah En Saha b Said dan Pn Arizah bt Hashim telah dilantik sebagai guru perpustakaan. Operasi perpustakaan hanya bermula pada bulan Mac 1993 setelah buku-buku melalui proses teknik. Pengawas perpustakaan juga telah dilantik untuk membantu melaksanakan tugas guru perpustakaan.
Peralatan yang disediakan merupakan 10 buah meja kayu (enam kerusi), 60 kerusi berkusyen, sebuah meja kaunter untuk sirkulasi, sebuah meja guru, 2 buah almari kayu, sebuah troli dan 10 rak besi. Aktiviti awal perpustakaan lebih tertumpu kepada pinjaman buku dan program pembacaan
Bilik tayang masih belum mempunyai sebarang peralatan dan perkakasan selain papan hitam dan meja serta kerusi guru. Pada penghujung 1993 bilik tayang telah dilengkapi 50 buah kerusi banquet.
Pada tahun-tahun berikutnya prasarana perpustakaan dan bilik tayang terus ditingkatkan.
Perkembangan ini telah membantu pengurusan PSS yang lebih sistematik. Menjelang tahun 2000, lantai bilik tayang dan perpustakaan telah dinaiktaraf dengan pemasangan jubin. Selain itu bilik tayang juga telah dilengkapi lantai bertingkat yang dilapisi karpet dan tingkap naco telah diganti dengan cermin.
Jumlah buku di perpustakaan berdasarkan buku stok telah mencecah lebih 6000 naskah. Walaubagaimana pun jumlah buku yang sebenar adalah kurang kerana masalah buku rosak, hilang dan kandungan sudah tidak relevan. Perpustakaan juga telah dilengkapi dengan penghawa dingin. Aktiviti pinjaman buku dan program membaca berjalan lancar.
Penyelaras dan guru-guru PSS silih berganti mengikut perkembangan dan pergerakan guru semasa.
Mulai tahun 2005 PSS SMK Klebang Besar mula mengorak langkah untuk menjadi komponen penting yang menggerakkan sekolah ke arah mencapai kecemerlangan khususnya dalam bidang akademik. Perancangan jangka panjang (Blue Print) untuk lima tahun berikutnya telah dibuat dalam usaha mencapai visi yang telah ditetapkan. Visi PSS adalah seiring dengan visi sekolah.
Perkhidmatan atau unit baru telah dibentuk dalam JK Kerja PSS. Unit ICT telah diwujudkan pada tahun 2004 apabila makmal komputer mula beroperasi. Unit ini telah mendedahkan warga sekolah kepada teknologi maklumat.
Pada tahun 2007 pula sebuah konti radio telah dibangunkan bersebelahan koperasi sekolah. Bilik konti radio dilengkapi dengan sistem penyiaran yang canggih termasuk komputer.
Konti diuruskan oleh unit Radio Sekolah yang terdiri daripada seorang guru dengan dua orang juruhebah (DJ) yang dipilih dari kalangan murid-murid. Unit ini telah membantu urusan penyampaian maklumat ke seluruh kawasan sekolah melalu pengumuman-pengumuman penting.
Perpustakaan telah dilengkapi sistem pengautomasian PUSTAKA mulai tahun 2006. Koperasi sekolah telah bermurah hati menyumbang untuk pembelian sebuah komputer yang dilengkapi sebuah printer dan barcode scanner, yang dikhaskan untuk sistem automasi ini, manakala pembelian software sistem PUSTAKA telah ditanggung oleh PIBG sekolah.
Maklumat buku yang dibeli mulai tahun 2006 telah dimasukkan ke dalam sistem. Buku-buku yang dibeli sebelum itu dimasukkan secara berperingkat. Setiap murid perlu mempunyai kad ahli khas yang mempunyai barcode nombor keahlian untuk membolehkan mereka meminjam bahan buku atau bahan bukan buku. Sistem ini telah meningkatkan keberkesanan urusan sirkulasi buku di perpustakaan. Pelbagai analisa penting dapat disediakan menggunakan sistem automas ini. Di antaranya analisa jumlah pinjaman buku fiksyen dan buku buklan fiksyen, peminjam aktif, katalog, pulangan lewat dan lain-lain lagi.
Bilik tayang telah dilengkapkan dengan komputer dan LCD pada tahun 2007. Perkakasan ini boleh digunakan oleh guru untuk proses P&P. Sejak itu bilik tayang sentiasa digunakan sepanjang waktu persekolahan.
Pada tahun 2010 Astro telah menyambung semula khidmat masyarakatnya yang terhenti pada tahun 2008. Kali ini siaran Astro tertumpu kepada pendidikan melalui kampus Astronya. PSS SMK Klebang Besar telah menempatkan set televisyen Astro di bilik tayang.
Pada tahun 2006 Unit Warisan telah ditubuhkan. Bilik Warisan dilengkapi bahan-bahan sejarah sekolah dan sejarah negara. Selain itu, folio sejarah yang terpilih juga ditempatkan di sini. Semua bahan yang ada di bilik ini boleh digunakan sebagai bahan rujukan terutama untuk menyiapkan tugasan seperti folio sejarah PMR.
Unit SAL telah diwujudkan pada tahun 2010 dalam usaha mendidik murid SMK Klebang Besar belajar sendiri. Bilik SAL dilengkapi dengan buku-buku kerja pelbagai matapelajaran yang boleh digunakan oleh semua murid. Murid hanya perlu datang dengan membawa kertas dan alat tulis untuk membuat latihan yang terdapat dalam buku-buku yang tersedia.
Program NILAM telah menjadi agenda sekolah. Pelbagai aktiviti dan program yang menyokong NILAM telah dilaksanakan. Antaranya ialah Program Suluhan Minda dan memasukkan aktiviti NILAM dalam jadual waktu P&P matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dengan ini setiap murid akan dibawa untuk membaca dan mencatat rekod NILAM sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Perpustakaan sendiri turut memainkan peranan penting dalam usaha memastikan lebih ramai warga sekolah datan dan meminjam buku. Aktiviti yang dijalankan termasuklah Peminjam Aktif, Pengunjung Bertuah, 1 Buku 1 Coklat, Kumpul Mata Ganjaran, Perpustakaan Ria dan lain-lain.
Peningkatan dalam program NILAM amat memberangsangkan. Peratusan yang menerima pengiktirafan tahap Jauhari sentiasa meningkat. Pada tahun 2010 telah ada yang mencapai pengiktirafan tahap Rakan Pembaca. Ini membolehkan mereka dicalonkan sebagai Tokoh NILAM. Salah seorang daripada mereka telah berjaya melayakkan diri ke peringkat 20 peserta terbaik.
Walaupun SMK Klebang Besar belum berjaya mencapai visi yang ditetapkan, tetapi peningkatan markah penggredan PSS setiap tahun telah menunjukkan hala tuju seterusnya. Adalah menjadi harapan Jawatankuasa PSS agar visi sebelum ini dapat dicapai dalam masa lima tahun akan datang. Sokongan pelbagai pihak terutama pentadbir sekolah, guru, kakitangan sokongan serta murid-murid merupakan pendorong utama ke arah kecemerlangan PSS.